Thursday, 01 December 2011 | Ruangan: Berita (Selangorkini)
Oleh Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM , 1 DISEMBER : Rakyat di Selangor berpeluang menyampaikan idea dan cadangan dalam menambahbaik dasar-dasar kerajaan negeri apabila pertemuan dan dialog antara pemimpin dan rakyat bakal diadakan seminggu sekali.
Semasa Kongres Keadilan Ke-8 , Adun Rawang , Gan Pei Nei dalam perbahasannya mengemukakan cadangan agar semua pihak termasuk pimpinan negeri dan masyarakat perlu membuat satu perbincangan dan dialog terbuka setiap minggu bermula tahun hadapan di seluruh 56 Dun diSelangor.
“Kita mahu menggalakkan penglibatan rakyat ataupun penduduk di negeri Selangor dalam segala aspek pembuat keputusan negeri Selangor, dan perjumpaan ini penting untuk kita tahu maklum balas daripada rakyat aspek-aspek yang perlu diperbaiki.
“Dalam masa yang sama, pimpinan kerajaan negeri juga boleh sampaikan tentang program-program ataupun dasar-dasar kerajaan terkini yang boleh diambil peluang oleh rakyat,” kata Gan semasa dihubungi TVSelangor/SelangorKini.
Menurut Gan lagi, pejabat menteri besar dan exco telah menyokong idea seperti ini dan akan bermula bulan ini bagi membolehkan Menteri Besar dan Exco turun ke daerah yang berbeza untuk berjumpa kakitangan kerajaan komuniti tempatan serta penduduk.
Sementara itu, menurut Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Faizal Baharuddin yang dihubungi berkata cadangan tersebut merupakan platform terbaik yang dapat mempertemukan antara rakyat,pemimpin setempat dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk merungkai masalah bagi menangani isu setempat.
“Cadangan yang diutarakan memang kita terima baik, sebab bila kita dapat bertemu dengan rakyat , kita boleh mengenalpasti permasalahan di peringkat bawahan , kemudian apa yang disalurkan di peringkat kerajaan lebih tersusun.
“Selain mendengar permasalahan rakyat , kita boleh memberikan penerangan-penerangan terhadap apa yang telah kerajaan negeri laksanakan untuk makluman kepada rakyat,” katanya.
Menurut Faizal lagi, Ahli Majlis sentiasa bersedia menjadi orang tengah sekiranya diberi peluang untuk memastikan setiap perjumpaan tersebut lebih tersusun dan teratur.
“Ahli majlis boleh diberi tugas menyelia setiap zon kerana ahli majlis lebih memahami permasalahan serta lokasi yang wujud di zon yang diwakili.
“Kerjasama dengan pejabat kerajaan adalah mengikut arahan, kalau arahan itu dikeluarkan maka mereka boleh bekerja erat dengan Ahli Majlis,” kata beliau.